http://dapmalaysia.org  

Seruan untuk perlantikan sebuah Suruhanjaya Diraja mengenai Pembaharuan Kehakiman yang diketuai Param Cumaraswamy untuk memulihkan sepenuhnya keyakinan awam dan antarabangsa dalam badan kehakiman


Ucapan  (3)
-
semasa menyertai perbahasan ke atas Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong 
oleh
Lim Kit Siang

(Dewan Rakyat, Rabu): Jurang utama kedua di antara realiti dan retorik pembaharuan dalam tempoh 17 bulan lepas menyentuh sistem keadilan. 

Pentadbiran kerajaan sedang dibelenggui sindrom penafian baru, berpura-pura bahawa krisis lebih sedekad lama badan kehakiman yang menyebabkan kredibiliti, reputasi dan kesahan sistem keadilan di Malaysia menjunam ke takat paling corot apabila masyarakat perundangan dan kehakiman antarabangsa mengeluarkan penunjuk keburukannya dalam suatu laporannya yang bertajuk: �Justice in Jeopardy: Malaysia 2000� tidak pernah berlaku atau merupakan bahan sejarah ataupun tidak mungkin berlaku pada masa depan. 

Pada Persidangan Undang-undang Malaysia ke-12 pada bulan Disember 2003, bekas Menteri Kewangan Tengku Razaleigh Hamzah memetik suatu anekdot dalam tahun 90-an untuk menggambarkan kekurangan keyakinannya dalam sistem keadilan Malaysia, yakni beliau telah dinasihatkan oleh peguamnya dan bekas Hakim Mahkamah Agung �bahawa di negara saya sendiri, amat sukar untuk mendapatkan keadilan, terutamanya apabila lawan atau musuh saya mempunyai hubungan rapat dengan mereka yang berkuasa� dan tidak menaruh harapan pada mahkamah Malaysia apabila musuh politik beliau menuduh bahawa beliau bertanggungjawab di atas skandal BMF. Akan tetapi, �peluang sampai apabila tuduhan yang sama telah disiarkan dalam beberapa akhbar asing� dan beliau tidak teragak-agak lagi dan memfailkan tindakan di mahkamah-mahkamah asing yang bersesuaian terhadap akhbar-akhbar berkenaan dan berjaya membersihkan namanya. 

Izinkan saya menambah anekdot saya. Pada bulan Januari 2000, saya mendapatkan pandangan dua pakar undang-undang yang pernah memegang jawatan kehakiman tertinggi di negara, iaitu bekas Ketua Hakim Negara Allahyarham Tun Suffian dan Tun Salleh Abas mengenai kebijaksanaan tindakan mencabar kesahan mesyuarat Parlimen ke-10 dan enakmen dan keputusannya di mahkamah. 

Mesyuarat pertama Parlimen ke-10 telah dimulakan melalui suatu perisytiharan diraja pada 9 Disember 1999 tetapi perisytiharan ini mempunyai kecacatan oleh sebab di bawah Perlembagaan, Yang DiPertuan Agong bertindak mengikut nasihat Kabinet yang hanya dibentuk dan mengadakan mesyuarat pertamanya pada 15 Disember 1999. 

Sementara kedua-dua bekas Ketua Hakim Negara ini bersetuju bahawa persidangan Parlimen ke-10 tidak menurut Perlembagaan yang mana menjadikan segala tindakan susulannya tidak sah, mereka berpandangan bahawa tindakan mahkamah tidak wajar diambil. Ini merupakan suatu gambaran menyedihkan tentang sistem keadilan di Malaysia pada ketika di mana dua bekas Ketua Hakim Negara sendiri tidak mempunyai keyakinan dalam mahkamah kita! 

Walaupun ramai  hakim adalah adil, berprihatin dan berkebolehan, dua anekdot ini menimbulkan persoalan tentang apakah pembaharuan struktur kehakiman yang telah dilakukan untuk memulihkan sepenuhnya keyakinan negara dan antarabangsa dalam kebebasan, kesaksamaan dan integriti badan kehakiman di Malaysia, khasnya dalam kes-kes menonjol, baik yang melibatkan kerajaan memerintah ataupun urus janji korporat mega. 

Ramai yang meletakkan harapan tinggi pada pentadbiran Abdullah memandangkan tiada sesiapa yang menaruh harapan bahawa akan berlakunya apa-apa pembaharuan kehakiman besar-besaran di bawah Perdana Menteri sebelum ini selama 22 tahun. 

Sistem perlantikan kehakiman yang diamalkan sekarang ini tidak berjalan dengan sempurna ataupun Malaysia sudah tentu tidak akan menjunam ke dalam suatu krisis keyakinan negara dan antarabangsa dalam kebertanggungjawaban, kebebasan, kesaksamaan dan integriti badan kehakiman yang berlarutan selama lebih satu dekad yang mana sehingga kini negara masih belum pulih sepenuhnya. 

Malaysia amat memerlukan suatu proses perlantikan hakim yang lebih telus untuk memastikan pentadbiran keadilan yang berkualiti tinggi oleh hakim-hakim yang mempunyai kelayakan profesional, memiliki integriti dan peribadi yang baik, bebas dan berani. 

Sistem yang ada sekarang ini di mana perlantikan kehakiman ditentukan oleh dua orang, iaitu Perdana Menteri dan Ketua Hakim Negara, adalah amat tidak memuaskan. Kecacatan dan kelemahan proses perlantikan hakim yang sedia wujud termasuk: 

  • Prosedur pemilihan dan perlantikan tidak telus;
  • Proses rundingan dirahsiakan; dan
  • Kekurangan penilaian calon-calon terhadap kriteria-kriteria yang ditentukan lebih awal.

Banyak negara Komanwel telah menlaksanakan pembaharuan untuk memodenkan sistem keadilan mereka seperti pengenalan ketelusan dan persaingan dalam proses perlantikan hakim. 

Malaysia boleh mendapatkan manfaat daripada pembaharuan yang dilakukan oleh beberapa negara ini. Sebagai contoh, Kanada telah menubuhkan sebuah Jawatankuasa Penasihat Perlantikan Kehakiman dalam setiap daerah yang melibatkan wakil-wakil kehakiman dan perundangan dan wakil bukan peguam. Perlantikan kehakiman hanya dihadkan kepada mereka yang diluluskan oleh jawatankuasa sebagai sesuai untuk dilantik. 

Di New Zealand, sebagai gerak balas kepada kritikan bahawa badan kehakiman berjauhan dan tidak mewakili masyarakat, sebuah Lembaga Perlantikan Kehakiman telah ditubuhkan yang terdiri daripada wakil-wakil hakim dan peguam dan ahli biasa dan mereka ini membuat syor tentang perlantikan kehakiman apabila berlakunya kekosongan. Lembaga mengiklankan jawatan kehakiman tersebut dan mengkaji segala permohonan. Suatu senarai mengikut keutamaan yang mengandungi sekurang-kurangnya dua calon kemudiannya diserahkan kepada Peguam Negara yang akan membuat syor terakhir kepada Ketua Gabenor. 

Pada tahun 1997, United Kingdom mentakrif dan mengumumkan kriteria untuk menilai calon-calon bagi perlantikan kehakiman dan proses pemilihan. 

Memandangkan begitu banyak negara telah melakukan pembaharuan untuk memodenkan sistem keadilan mereka, termasuk sistem perlantikan kehakiman, sudah tentu tidak ada kekurangan bahan rujukan untuk Malaysia melaksanakan pembaharuan sistem keadilan kita sendiri. 

Pembaharuan kehakiman untuk memulihkan keyakinan negara dan antarabangsa dalam kedaulatan undang-undang dan badan kehakiman yang benar-benar bebas bukan sahaja suatu kepentingan badan kehakiman tetapi juga kerajaan, Parlimen, masyarakat madani dan negara keseluruhannya. 

Perdana Menteri harus melantik sebuah Suruhanjaya Diraja mengenai Pembaharuan Kehakiman untuk memulihkan sepenuhnya keyakinan awam dan antarabangsa dalam badan kehakiman. Dalam hal ini, negara ini mempunyai seorang calon amat sesuai untuk mengetuai Suruhanjaya sedemikian, iaitu seorang warga Malaysia yang dianggap sebagai seorang pakar utama dalam bidang ini di peringkat antarabangsa setelah berkhidmat sebagai Wakil Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Kebebasan Hakim dan Peguam selama tiga penggal atau sembilan tahun. 

Pada tahun 2003, Param Cumaraswamy merupakan warga Malaysia yang pertama dan orang keenam dianugerahkan Hadiah Keadilan Antarabangsa di Dunia (International Justice in the World prize) sejak pengenalannya pada tahun 1997. Anugerah ini menghargai individu-individu luarbiasa di sekitar dunia dalam bidang undang-undang di atas �komitmen beliau kepada usaha mempertahankan kebebasan hakim dan peguam, penjaga mutakhir kedaulatan undang-undang yang adil�. 

Param telah membawa pujian antarabangsa kepada Malaysia sejak perlantikan beliau oleh PBB sungguhpun beliau telah dilihat dengan perasaan syak wasangka bahkan ketidakpercayaan oleh kerajaan Malaysia sebelum ini, pada dasarnya kerana negara sendiri menjadi tumpuan kritikan antarabangsa  di atas pelanggarannya terhadap badan kehakiman yang bebas dan kedaulatan undang-undang yang adil. 

Patutkah Param terus diberikan layanan bagai �a prophet not honoured in his own country� di bawah pentadbiran Abdullah sedangkan pemulihan sepenuhnya keyakinan negara dan antarabangsa dala soal kebebasan, kesaksamaan dan integriti badan kehakiman supaya kembali ke �zaman keagungan� pra-krisis kehakiman yang melibatkan Tun Salleh Abas pada tahun 1998 patut dianggap sebagai keutamaan tertinggi negara? 

 

(23/3/2005)


* Lim Kit Siang, Ketua Pembangkang Parlimen