http://dapmalaysia.org  

Mahathir ternyata silap apabila beliau berkata bahawa permintaan untuk membina sekolah rendah Cina baru bagi memenuhi keperluan pendaftaran pelajar yang semakin bertambah tiada hubung kait dengan usaha untuk mendapatkan pendidikan yang baik


Ucapan  (6)
-
semasa menyertai perbahasan ke atas Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong 
oleh
Lim Kit Siang

(Dewan Rakyat, Rabu): Baru-baru ini, kenyataan-kenyataan tidak peka yang dikeluarkan oleh pemimpin-pemimpin UMNO dan Pemuda UMNO mengenai permintaan untuk membina sekolah rendah Cina baru di bawah Rancangan Malaysia kesembilan bagi memenuhi keperluan pendaftaran pelajar yang semakin bertambah telah sekali lagi menguji komitmen negara untuk membina sebuah negara berbilang kaum, bahasa, budaya dan agama yang bersatu-padu. 

Amat malang sekali bahawa kerajaan gagal mengambil kesempatan daripada Titah Diraja semalam untuk menyatakan dua komitmen dasarnya untuk memperkuat sekolah rendah kebangsaan sebagai pilihan pertama rakyat di samping memberikan layanan adil kepada pendidikan bahasa ibunda, khasnya pembinaan sekolah rendah Cina baru untuk memenuhi keperluan pendaftaran pelajar yang semakin bertambah. 

Kedua-dua ini adalah isu berasingan sama sekali dan mempunyai kepentingan masing-masing. Namun demikian, ramai pemimpin UMNO dan Pemuda UMNO tetap mengeluarkan kecaman dengan fikiran bahawa matlamat pendidikan sekolah rendah kebangsaan hanya boleh dicapai dengan mengetepikan kepentingan sekolah rendah Cina. 

Akhbar-akhbar Cina Sabtu lepas memberikan liputan luas kepada penjelasan Dr Vincent Lim, setiausaha politik kepada Perdana Menteri, bahawa Abdullah tidak pernah berkata pada Isnin lalu bahawa “tindakan membina sekolah rendah Cina memudaratkan perpaduan negara”. 

Penjelasan ini amat dialu-alukan. Akan tetapi, adalah tidak sihat dan tidak wajar bahawa media bahasa berlainan memberikan persepsi berbeza tentang apakah yang telah disebut atau tidak disebut oleh Abdullah mengenai sekolah rendah Cina. 

Misalannya, tiada penjelasan serupa disiarkan dalam media bahasa yang lain, sungguhpun berita utama halaman pertama Utusan Malaysia mengenai kenyataan Abdullah pada Isnin lalu pada dasarnya membawakan mesej yang sama seperti media Cina. 

Perenggan pertama dalam berita utama halaman pertama Utusan Malaysia pada 15 Mac 2005 di bawah tajuk “Perkasa sekolah kebangsaan – Pelbagai sistem pendidikan tidak baik untuk Negara – PM” melaporkan yang berikut: “PUTRAJAYA 14 Mac – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menegaskan sebarang tindakan untuk menambah Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Cina atau Tamil hanya akan mewujudkan pelbagai sistem dalam pendidikan dan ia tidak baik kepada negara.” 

Memandangkan penjelasan bahawa Abdullah tidak berkata bahawa “tindakan membina sekolah rendah Cina memudaratkan perpaduan negara” tidak disiarkan oleh media semua bahasa di negara, maka rakyat Malaysia diberikan dua persepsi berbeza bergantung kepada media bahasa manakah yang menjadi sumber maklumat mereka, iaitu: 

  • Media bahasa Cina menjelaskan bahawa Abdullah tidak membuat kenyataan bahawa “tindakan membina sekolah rendah Cina memudaratkan perpaduan negara”; dan
  • Media bahasa Malaysia melaporkan bahawa Abdullah telah berkata bahawa tindakan membina lebih banyak sekolah rendah Cina “tidak baik kepada Negara”.

Sebaik sahaja selepas kenyataan Abdullah pada hari Isnin, Biro Pendidikan Pemuda UMNO mengeluarkan kenyataan yang memberikan sokongan penuh kepada pendirian Perdana Menteri bahawa tindakan membina sekolah rendah Cina baru “tidak selaras dengan objektif dan visi kerajaan untuk memperkasakan sistem sekolah kebangsaan” dan “tidak memberikan kesan positif kepada usaha untuk menyatupadukan rakyat Malaysia”. 

Ini juga merupakan kenyataan Menteri dan pemimpin UMNO serta pemimpin Pemuda UMNO yang menegaskan saranan silap dan tidak berasas mereka bahawa sekolah rendah Cina adalah penghalang kepada perpaduan negara dan punca polarisasi kaum di negara. 

Keadaan sedemikian diperburukkan oleh kelengahan selama empat hari dalam memberikan penjelasan segera mengenai apakah yang telah disebut atau tidak disebut oleh Abdullah berhubung tindakan membina sekolah rendah Cina baru pada hari Isnin. 

Malaysia sepatutnya dapat menunjukkan kematangan yang lebih dalam membincang isu-isu negara memandangkan dalam dua tahun lagi, kita akan menyambut usaha setengah abad dalam proses pembinaan negara semenjak kemerdekaan pada tahun 1957. 

Perlu adanya ruang demokratik yang lebih luas, bukannya lebih sempit, untuk mengadakan perbincangan tentang harapan dan aspirasi rakyat Malaysia secara rasional dan bertanggungjawab. Tiada sebab mengapa isu pembinaan sekolah rendah Cina baru untuk memenuhi keperluan pendaftaran pelajar yang semakin bertambah seharusnya menjadi isu “sensitif” yang hanya boleh dibincang “secara tertutup” di antara Presiden UMNO dan Presiden MCA, sedangkan dalam tempoh 48 tahun yang lalu, hal ini tidak pernah dianggap sebagai isu “sensitif” yang tidak boleh dibincang secara terbuka, baik di dalam Parlimen, dewan undangan negeri, perhimpunan umum ataupun media massa. 

Pembinaan sekolah rendah Cina baru untuk memenuhi keperluan pendaftaran pelajar yang semakin meningkat bukan sahaja sejajar dengan hak dan jaminan perlembagaan pendidikan bahasa ibunda di Malaysia tetapi juga penting dalam membawakan pembaharuan pendidikan yang berkualiti di negara selaras dengan aspirasi negara untuk menjadi sebuah K-ekonomi dengan daya saingan antarabangsa untuk memenuhi cabaran-cabaran globalisasi di persada dunia. 

Dengan tinggalnya dua tahun lagi sebelum Malaysia mencapai kenegaraan setengah abad, marilah kita berhenti mempolitikkan isu pendidikan, khasnya pendidikan bahasa ibunda – di mana Barisan Nasional akan menjanjikan layanan adil kepada sekolah rendah Cina sebelum setiap pilihan raya umum, bahkan membina sekolah rendah Cina baru (iklan halaman penuh telah disiarkan dalam akhbar-akhbar Cina dalam pilihan raya umum 2004 serupa dengan iklan halaman penuh yang menyeru pengundi menyokong calon-calon Barisan Nasional supaya Abdullah boleh menjadi seperti Hakim Bao moden untuk memerangi rasuah dalam peringkat kuasa yang tinggi), tetapi dilupakan serta-merta dalam tempoh dua tahun selepas pilihan raya umum dan permintaan untuk membina sekolah rendah Cina baru untuk memenuhi keperluan pendaftaran pelajar yang semakin bertambah dianggap sebagai bercanggah dengan kepentingan negara dan tidak patriotik sama sekali.  

DAP menyokong tindakan kerajaan memperkasakan sekolah kebangsaan untuk menjadikannya pilihan pertama rakyat. Namun demikian, sekiranya seluruh strategi untuk menjadikan sekolah kebangsaan pilihan pertama rakyat dilaksanakan dengan menafikan layanan adil kepada pendidikan bahasa ibunda secara berterusan, ini adalah tindakan yang tidak panjang fikiran. Contoh tindakan sedemikian adalah layanan tidak adil yang diberikan kepada sekolah Cina dan Tamil, sama ada keengganan untuk membina sekolah baru untuk memenuhi keperluan pendaftaran pelajar yang semakin meningkat, peruntukan dana pembangunan secara adil, latihan guru yang mencukupi ataupun kesesakan murid sekolah rendah Cina sebanyak 50 hingga 55 pelajar dalam setiap kelas sedangkan saiz kelas yang sewajarnya adalah 30 murid setiap kelas. 

Strategi sedemikian ternyata akan menemui kegagalan, oleh sebab ia hanya akan menyebabkan lebih ketidakperpaduan dalam populasi berbilang kaum kita di samping menjejaskan kepentingan negara jangka panjang untuk mempertingkatkan daya saingan antarabangsa kita dalam menghadapi cabaran-cabaran globalisasi memandangkan Malaysia akan dinafikan pendidikan berkualiti dan kecemerlangan modal manusia yang merupakan aset paling berharga dalam ekonomi baru yang berasaskan pengetahuan. 

Hujah pihak-pihak yang membantah pembinaan sekolah rendah Cina baru untuk memenuhi keperluan pendaftaran pelajar berdasarkan alasan bahawa ini akan menyumbang kepada polarisasi kaum dan ketidakperpaduan negara tidak boleh dipertahankan di atas beberapa sebab, termasuk: 

  • Tidak mengakui hakikat bahawa pelajar di sekolah rendah Cina tidak terdiri daripada satu kumpulan kaum sahaja, iaitu Cina, memandangkan lebih 10 peratus pendaftaran pelajar merangkumi pelajar Melayu, India, Iban dan Kadazan;
  • Dwi-standard dalam mempertahankan kewujudan institusi-institusi pendidikan yang dikhaskan untuk satu kumpulan etnik sahaja, seperti UiTM yang mana menurut seorang Menteri Kabinet tidak akan dibuka kepada pelajar bukan Melayu;
  • Mengetepikan fakta bahawa lebih 90 peratus pelajar sekolah rendah Cina meneruskan pendidikan menengah di sekolah menengah kebangsaan yang memberikan mereka peluang untuk berinteraksi dengan populasi pelajar lebih berbilang kaum di peringkat menengah dan tersiari.

Satu strategi berdaya maju dan berjaya untuk memperkasakan sekolah kebangsaan dan menjadikannya pilihan pertama rakyat semestinya strategi yang boleh membuatnya lebih menarik kepada ibu bapa dan pelajar berbanding sekolah rendah jenis kebangsaan disebabkan kualiti pendidikan dan suasana pembelajarannya untuk memperkembangkan bakat baru dan potensi pelajar di samping memberikan layanan adil dan saksama kepada sekolah rendah Cina dan Tamil sebagai sebahagian penting aliran utama pendidikan kebangsaan pada masa yang sama. 

Apabila Abdullah menjadi Perdana Menteri, beliau telah berjanji untuk mendengar pandangan rakyat. Walau bagaimanapun, harapan rakyat agar wujudnya lebih ruang demokratik untuk menyuarakan aspirasi benar-benar mereka telah diketepikan apabila isu pembinaan sekolah rendah Cina baru untuk memenuhi keperluan pendaftaran pelajar yang semakin meningkat telah menjadi satu perkara yang hanya boleh dibincangkan “secara tertutup” sahaja di antara dua orang, iaitu Perdana Menteri dan Presiden UMNO dengan Presiden MCA yang merupakan rakan Kabinet bawahan beliau. 

Adakah Menteri-Menteri Kabinet, Ahli-Ahli Parlimen dan masyarakat madani langsung tidak berguna dan tidak relevan kepada proses membuat keputusan? Adakah proses rundingan untuk merumus Rancangan Malaysia Kesembilan akan menjadi lebih terhad lagi dan tidak demokratik berbanding rancangan-rancangan lima tahun sebelum ini?

Empat tahun yang lalu, iaitu pada awal tahun 2001 semasa proses perumusan Rancangan Malaysia Kelapan, DAP telah membuat seruan untuk Perjanjian Pendidikan Bahasa Ibunda yang baru (new Deal for Mother-Tongue Education) untuk disertakan dalam Rancangan Malaysia tersebut, termasuk pembinaan 250 sekolah rendah Cina baru dalam tempoh lima tahun berkenaan berdasarkan hujah-hujah berikut: 

  • Terdapat sekitar 70,000 murid bukan Cina di sekolah rendah Cina di negara yang bererti bahawa kira-kira 120 sekolah rendah Cina baru perlu dibina untuk memenuhi keperluan ini.
  • Sewaktu kemerdekaan pada tahun 1957, terdapat 1,333 sekolah rendah Cina dengan jumlah pendaftaran sebanyak 310,000 murid. 43 tahun kemudian pada 2000, pendaftaran murid sekolah rendah Cina telah bertambah dua kali ganda melebihi 620,000. Namun demikian, tiada pertambahan yang serupa dalam bilangan sekolah rendah Cina dalam tempoh empat dekad lalu. Sebaliknya, berlakunya pengurangan 49 sekolah dari 1,333 kepada 1,284 sekolah.
  • Pada tahun 1968, terdapat 2,770 sekolah rendah kebangsaan dengan jumlah pendaftaran sebanyak 666,389 murid. Dalam tempoh 32 tahun dari 1968-2000, jumlah pendaftaran di sekolah rendah kebangsaan mencapai 2,218,747 (pertambahan sebanyak 1,552,358) sementara bilangan sekolah rendah kebangsaan bertambah sebanyak 2,637 menjadi sejumlah 5,407 sekolah. Ini bermaksud purata pertambahan 588 murid bagi sebuah sekolah rendah kebangsaan baru.
  • Sekiranya purata setiap sekolah rendah kebangsaan baru untuk setiap pertambahan 588 murid dipakai untuk sekolah rendah Cina, sepatutnya ada pertambahan 527 sekolah baru dalam tempoh 43 tahun dari kemerdekaan pada tahun 1957 kepada 2,000 bagi pertambahan dua kali ganda pendaftaran murid sekolah rendah Cina dari 310,000 kepada 620,000 murid. Memandangkan dalam tempoh 43 tahun lalu, berlakunya pengurangan 49 sekolah rendah rendah Cina, ini bererti bahawa kekurangan sekolah rendah Cina setakat tahun 2000 sebanyak 527 + 49 = 576.
  • Permintaan untuk membina 250 sekolah rendah Cina baru dari 2001 hingga 2005 sedangkan 576 sekolah rendah Cina sepatutnya dibina adalah adil dan munasabah.

Hujah-hujah untuk layanan adil dan saksama kepada sekolah rendah Cina, khasnya pembinaan sekolah rendah Cina baru, adalah lebih kukuh bagi Rancangan Malaysia Kesembilan, oleh sebab jumlah pendaftaran pelajar di sekolah rendah Cina telah bertambah lagi kepada 636,783 pada tahun 2003 dengan bilangan sekolah rendah Cina sebanyak 1,287. 

Abdullah harus memberikan jaminan mutlak bahawa rundingan Rancangan Malaysia Kesembilan akan dilakukan secara bermakna dan demokratik, bukannya secara satu haluan sahaja, dan bahawa rakyat Malaysia mempunyai kebebasan untuk menimbulkan pelbagai isu yang sebaik-baiknya dibincangkan dalam cara yang serius, rasional dan bertanggungjawab tanpa disensasikan, diapi-apikan, melibatkan emosi atau menimbulkan isu perkauman. 

Paling penting sekali, tidak harus ada percubaan untuk menutup perbincangan awam mengenai apa-apa isu dengan mengelaskannya sebagai “sensitif” secara sewenang-wenangnya seperti isu pembinaan sekolah rendah Cina baru untuk memenuhi keperluan pendaftaran semakin meningkat yang mana akan menyebabkan proses rundingan Rancangan Malaysia Kesembilan dan demokrasi negara kita diperolok-olokkan. 

Semalam, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir berkata bahawa permintaan kepada kerajaan untuk membina lebih banyak sekolah rendah Cina tidak mempunyai hubung kait dengan usaha memperolehi pendidikan baik. Saya tidak tahu apakah motif tersembunyi yang cuba dibayangkan oleh Dr Mahathir, sama ada beliau mencadangkan bahawa majoriti besar rakyat Cina Malaysia yang menghantar anak-anak mereka ke sekolah rendah Cina tidak cukup setia kepada Malaysia dan merupakan agen-agen polarisasi kaum. Tetapi Dr Mahathir  ternyata amat silap kerana tidak dapat dinafikan bahawa keinginan untuk mendapatkan pendidikan baik merupakan sebab utama bagi pendaftaran murid di sekolah rendah Cina. 

Fenomena majoriti besar murid Cina melebihi 90 peratus yang mendaftar di sekolah rendah jenis kebangsaan bukanlah perkembangan baru kerana ini telah berlaku lebih tiga dekad lalu pada tahun 1970-an apabila berlakunya perubahan dasar pendidikan secara tiba-tiba di mana semua sekolah rendah aliran bahasa Inggeris ditutup. 

Contohnya, pada tahun 1977, ketika Dr Mahathir menjadi Menteri Pendidikan, 87 peratus daripada murid Cina sudahpun belajar di sekolah rendah Cina di mana 478,849 murid daripada sejumlah 550,545 murid Cina belajar di sekolah rendah Cina. Data ini boleh diperolehi daripada Laporan Jawatankuasa Kajian Semula Pendidikan Kabinet Mahathir yang diumumkan pada November 1979 yang mana selepas itu usul saya mengenai laporan Mahathir telah dibahaskan di Parlimen pada bulan Jun tahun yang berikutnya. 

Selama ini, sekolah rendah jenis kebangsaan tidak pernah diasingkan daripada sistem pendidikan negara kita oleh sebab ia mengikuti sukatan pelajaran kebangsaan yang sama dengan sistem peperiksaan kebangsaan yang sama. Bukannya pendidikan bahasa ibunda berteraskan Malaysia yang merupakan punca polarisasi kaum tetapi dasar-dasar negara bersifat memecah-belah yang terus mengasingkan rakyat Malaysia kepada bumiputera dan bukan bumiputera sebalik daripada memberikan layanan serupa kepada semua warga sebagai rakyat Malaysia yang bersatu. 

Sekiranya sekolah rendah Cina dengan pendaftaran sebanyak 90 peratus murid Cina adalah punca kepada rakyat Malaysia yang cauvinistik, tidak mementingkan negara dan tidak patriotik, adakah ini bererti bahawa Parlimen dan kerajaan dipenuhi dengan orang-orang sedemikian memandangkan dua pemimpin MCA tertinggi di dalam kerajaan, iaitu Presiden MCA Ong Ka Ting dan Timbalan Presiden Chan Kong Choy dan semua Menteri, Timbalan Menteri, Setiausaha Parlimen dan Ahli Parlimen bukan Melayu yang belajar di sekolah rendah jenis kebangsaan dan kesetiaan dan patiotisme mereka harus diragui? 

Dalam tempoh 30 tahun lalu, sekolah rendah Cina telah menghasilkan warga Malaysia yang menyumbang banyak kepada pembangunan ekonomi dan negara Malaysia yang sedia wujud sekarang.

Pada hakikatnya, dalam setiap pilihan raya umum, pemimpin-pemimpin UMNO akan bersaing-saingan untuk memuji pendidikan Cina, baik sekolah rendah Cina mahupun sekolah menengah swasta Cina yang berjumlah 60, di atas kecemerlangan pendidikan, disiplin sekolah, komitmen guru dan sumbangan negara mereka. Mengapakah mereka bertukar pendirian mereka pula selepas setiap pilihan raya umum? 

Saya menyeru Ahli-Ahli Parlimen daripada semua parti politik, baik di pihak kerajaan ataupun pembangkang, untuk berhenti mempolitikkan isu-isu pendidikan dan menghormati hak perlembagaan dan asasi rakyat Malaysia kepada pendidikan bahasa ibunda dan menumpukan perhatian kepada usaha meningkatkan kualiti pendidikan di semua sekolah, sama ada sekolah kebangsaan atau jenis kebangsaan, demi tujuan menambah daya saingan antarabangsa kita bagi menghadapi cabaran-cabaran globalisasi. 

Marilah kita semua mencapai suatu persefahaman negara bahawa sambil kita menyokong usaha memperkasakan sekolah rendah kebangsaan untuk menjadikannya pilihan pertama rakyat, ini tidak akan menyebabkan peminggiran pendidikan bahasa ibunda yang mempunyai jaminan perlembagaan untuk diberikan layanan adil dan saksama seperti dalam hal pembinaan sekolah rendah Cina baru untuk memenuhi keperluan pendaftaran pelajar yang semakin bertambah.

(23/3/2005)


* Lim Kit Siang, Ketua Pembangkang Parlimen