http://dapmalaysia.org  

Penilaian mengenai prestasi Abdullah menjelang tempoh dua tahun memegang jawatan Perdana Menteri tidak akan menggalakkan melainkan beliau sanggup berusaha dan menunjukkan daya dan keghairahan yang baru dalam tujuh bulan yang akan datang serta menunaikan janji-janjinya untuk membentuk sebuah kerajaan yang bersih, beramanah, efisien, akauntabel, dan berjiwa rakyat


Ucapan  (1)
-
semasa menyertai perbahasan ke atas Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong 
oleh
Lim Kit Siang

(Dewan Rakyat, Rabu): Awal bulan ini, Perdana Menteri, Datuk Sri Abdullah Ahmad Badawi memberitahu ahli-ahli Parlimen kerajaan di Sabah bahawa tempoh ‘bulan madu’ beliau serta anggota-anggota kerajaan telah berakhir dan  kini telah tiba masanya untuk menunaikan janji-janji pilihanraya yang dikemukakan 12 bulan yang lepas. 

Sebenarnya, “bulan madu politik” beliau telah berakhir agak awal lagi, kerana “Seratus Hari Pertama” merupakan tempoh biasa untuk sesuatu bulan madu politik, dan Abdullah kini telah memasuki bulan ke-17 kepimpinannya sebagai Perdana Menteri atau menjelang “500 hari pertama” dan bukannya “seratus hari pertama” lagi.

 

Dalam satu wawancara bulan Mei lepas, Malaysiakini terkejut kerana saya berkata bahawa saya akan memberi Abdullah temph dua tahun untuk menunaikan janjinya dalam membentuk sebuah kerajaan yang bersih, efisien, akauntabel, beramanah dan berjiwa rakyat setelah menjadi Perdana Meneteri pada 31hb Oktober 2003. Awal dari itu, ada pihak yang berkata bahawa penilaian mengenai prestasi pentabdiran Abdullah harus di buat selepas pilihanraya umum 2004, dan kemudia, selepas pilihanraya parti UMNO pada September 2004. Saya bersedia memberi tempoh dua tahun iaitu tempoh yang lebih panjang kepada Abdullah kerana Malaysia hanya bertukar seorang Perdana Menteri selepas tempoh 22 tahun, dan adalah lebih adil dan munasabah Perdana Menteri baru diberi masa yang secukupnya untuk menunaikan janji-janji beliau.

 

Sungghpun kita dari parti-parti politik berbeza, kita masih rakyat Malaysia, dan kita mahu Abdullah berjaya dan merapatkan jurang di antara realiti dan retorik dalam bidang politik, sosio-ekonomi, pendidikan dan pembaharuan kerajaan dan merealisasikan slogan kerajaan “Cemerlang, Gemilang, Terbilang”.

 

Bagaimanapun, penilaian mengenai prestasi Abdullah menjelang tempoh dua tahun beliau memegang jawatan Perdana Menteri tidak akan menggalakkan melainkan beliau sanggup berusaha dan menunjukkan daya dan keghairahan yang baru dalam tujuh bulan yang akan datang dan menunaikan janji-janjinya untuk membentuk sebuah kerajaan yang bersih, beramanah, efisien, akauntabel, dan berjiwa rakyat. Saya memberikan amaran awal ini demi kepentingan rakyat Malaysia, tanpa kira kaum, agama atau kecondongan politik masing-masing, bukannya kerana kita mahu melihat Abdullah gagal tetapi sebaliknya kita ingin melihat beliau berjaya.

 

Marilah kita mengadakan penilaian awal mengenai jurang di antara realiti dan retorik janji-janji Abdullah sebagai Perdana Menteri kelima Malaysia.

 

Dalam ucapan ulungnya  sebagai Perdana Menteri di Parlimen pada 3hb November 2003, Abdullah telah menjanjikan satu pentadbiran yang “bersih, beramanah, sederhana dan terbuka, menghormati sepenuhnya demokrasi Parlimen dan sistem perpisahan kuasa di antara badan eksekutif, legislatif dan kehakiman.

 

Saya pernah membuat komen pada awal tempoh Abdullah menjadi Perdana Menteri bahawa semua ini tidak banyak berbeza dari slogan ABC yang dikemukakan oleh pentabdiran 2M pada tahun 1981 (sungguhpun Dr Mahathir Mohamd mendakwa selepas itu bahawa 2M bermakna “Mahathir Mohamad” dan bukannya “Mahathir dan Musa”), menjanjikan pentadbiran yang “Amanah, Bersih, Cekap”.

 

Sungguhpun rakyat Malaysia berharap bahawa Abdullah akan berjaya menunaikan janji-janjinya untuk membentuk sebuah kerajaan yang bersih, efisien, akauntabel, beramanah, telus dan demokratik, tetapi mereka tidak mahu sejarah berulang – di mana seorang Perdana Menteri memulakan tugasnya dengan membuat janji-janji yang sedap dan memerangsangkan, tetapi akhirnya bukan sahaja janji-janji tersebut tidak ditunaikan, sebaliknya negara kita menjadi lebih teruk dalam banyak segi kehidupan nasional yang penting pada akhir tempoh perjawatan beliau.

 

Cara paling baik untuk memulakan penilaian mengenai jurang di antara realiti dan retorik pembaharuan kerajaan ini adalah dengan mengkaji sejauh manakah doktrin pemisahan kuasa telah dipulihkan di negara ini setelah berdekad-dekad pihak eksekutif merampas kuasa Parlimen dan Kehakiman serta hasil kempen membina semula sebuah kerajaan yang bersih dan beramanah.

 

 

(23/3/2005)


* Lim Kit Siang, Ketua Pembangkang Parlimen