http://dapmalaysia.org  

Saya akan menarik balik usul potong gaji RM10 terhadap Dr Shafie Salleh sekiranya Menteri Pengajian Tinggi mengakui bahawa kenyataan dasar beliau di Perhimpunan Agong UMNO pada bulan September bahawa beliau tidak akan membenarkan pelajar-pelajar bukan bumiputra diterima masuk ke UiTM dan akan memastikan bahawa pengambilan pelajar bumiputra ke universiti akan melebihi sistem kuota lama iaitu 55% dalam sistem meritokrasi baru, sebenarnya tidak dibuat untuk kepentingan pembinaan negara atau sama sekali dapat membantu negara mencapai tahap persaingan antarabangsa demi menghadapi cabaran globalisasi, liberalisasi dan ICT

 


Ucapan
-
semasa mengemukakan usul memotong gaji Mentei Pengajian Tinggi, Dr Shafie Salleh, sebanyak RM10  pada peringkat jawatankuasa perbahasan Badjet 2005  
oleh Lim Kit Siang

(Dewan Rakyat, Wednesday): Sepanjang lebih 30 tahun saya di Parlimen, saya pernah mengemukakan banyak usul potong gaji RM10 di dalam Dewam ini semasa peringkat jawatankuasa perbahasan Bajet tahunan dengan tujuan memasukkan dalam rekod rasmi protes atau kutukan terhadap berbagai skandal, kecuaian atau kegagalan Kementerian yang perlu dipikul tanggungjawabnya oleh Menteri yang berkenaan, samada secara peribadi atau dalam kapasitinya sebagai ketua Kementerian. 

Saya mesti mengakui di sini tidak pernah saya merasa begitu berat hati untuk mengemukakan usul potong gaji RM10 terhadap Mentei Pengajian Tinggi, Dr Shafie Salleh, kerana beliau merupakan simbol orang yang berbudi bahasa, tekun, bertanggungjawab dan berintegriti – seorang Menteri yang bersih dan bagus. Sebenarnya, saya merasa amat sedih kerana terpaksa mengemukakan kutukan kali ini menerusi usul potong gaji RM10. Walau bagaimanapun, sebagai seorang Ahli Parlimen, memang merupakan tanggungjawab saya yang telah mengambil sumpah untuk mempertahankan kepentingan negara dan rakyat Malaysia, tanpa kira kaum, agama, kelas atau kecondongan politik, dan ini telah memaksa saya berdiri di Dewan hari ini untuk mengemukakan usul potong gaji RM10 yang tidak popular ini terhaap seorang Menteri yang begitu popular. 

Pokok usul ini adalah mengenai dua kenyataan dasar yang telah dibuat oleh Shafie di Perhimpunan Agong UMNO bulan September lepas, di mana beliau telah mengatakan selagi beliau memegang jawatan Menteri Pengajian Tinggi, (i) beliau tidak akan membenarkan seorang pun pelajar bukan bumiputra masuk belajar di UiTM dan beliau tidak akan berkompromi atas isu ini; dan (ii) sungguhpun sistem meritokrasi telah diperkenalkan ke atas sistem pengambilan pelajar universiti, beliau akan memastikan bahawa jumlah pelajar bumiputra akan sentiasa menduduki lebih dari 55% jumlah tempat di universiti sepertimana yang ditetapkan dalam sistem kuota yang lama. 

Rakyat Malaysia sungguh terperanjat dengan kedua-dua kenyataan dasar ini, khasnya kerana ianya keluar dari mulut Shafie sendiri, dan juga kerana implikasi yang jauh dan mendalamnya terhadap pembinaan negara, Wawasan 2020 dan konsep Bangsa Malaysia, daya saingan antarabangsa kita serta keupayaan kita untuk menghadapi cabaran globalisasi, liberalisasi dan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT). 

Saya faham perasaan kecewa dan putus asa  Shafie yang telah dikalahkan di dalam pilihanraya Majlis Tertinggi UMNO, yang menunjukkan bahawa kualiti-kualiti yang terserlah pada dirinya - berbudi bahasa, tekun, bertanggungjawab dan berintegriti, seorang Menteri yang bersih dan bagus – tidak dianggap sebagai kualiti yang penting di dalam UMNO dan pilihanraya Majlis Tertinggi UMNO yang telah tenggelam di dalam orgi politik wang. Ini merupakan suatu yang sungguh memalukan bagi UMNO. Bagaimanapun, ini bukannya sebab, alasan atau justifikasi untuk Shafie cuba mencari populariti dan menggadaikan kepentingan nasional dan masa depan negara dengan membuat kenyataan-kenyataan yang keras dan ekstrim yang telah menjadi subjek usul potong gaji RM10 hari ini – kerana beliau seharusnya berdiri tegas dan terus menjadi contoh seorang yang bersikap sederhana, rasional atau berpegang kepada common sense yang senonoh, tanpa kira akibatnya, termasuk dikalahkan di dalam  pilihanraya Majlis Tertinggi UMNO. 

Kedua-dua kenyataan Shafie yang berkenaan adalah sungguh memeranjatkan dan tidak dapat dipertahankan atas dua sebab yang berikut: 

  • Bertentangan dengan penekanan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang menyeru supaya rakyat Malaysia menganggap diri mereka sebagai rakyat Malaysia dan bukannya terjerat oleh fikiran sempit sesuatu kaum atau agama, sebagaimana yang beliau katakan dalam mesej Hari Merdekanya:

“Marilah kita, semua rakyat Malaysia, tanpa perlu rasa rendah diri, tanpa perlu rasa terpinggir, tanpa mengira bangsa dan agama, bangun menjadi negarawan di bumi sendiri. Kita semua adalah sama, kita semua rakyat Malaysia. Tidak ada individu di negara ini yang diiktiraf ‘lebih Malaysia’ dari individu yang lain.”

  • Menjejaskan keyakinan masyarakat dalam dan luar negeri terhadap komitmen Malaysia untuk menjadi sebuah negara yang merupakan pusat akademi cemerlang antarabangsa, di mana sistem meritokrasi untuk pengambilan pelajar universiti dikompromikan bukan sahaja menerusi dua jelas sistem pemeriksaan yang berbeza, iaitu STPM dan Matrikulasi, tetapi juga oleh sistem kuota pengambilan 55% pelajar bumiputra.
  • Menjejaskan program kerajaan sendiri untuk menghentikan “sindrom subsidi” dan “mentality tongkat”, yang telah mencipta hasil yang memudaratkan, sebagaimana yang telah didedahkan di Parlimen minggu lepas bahawa lebih dari 90% graduan yang menganggur adalah bumiputra. Satu cara untuk menyediakan pelajar-pelajar bumiputra untuk menghadapi cabaran pasaran dan mempertingkatkan daya saing antarabangsa negara kita sebenarnya adalah dengan mendedahkan pelajar-pelajar bumiputra kita kepada  persaingan yang sebenarnya dari awal, sebaik-baiknya dari peringkat sekolah dan universiti lagi. Saya rasa adalah bagus untuk para pelajar UiTM  sekiranya pelajar bukan bumiputra diserap ke dalamnya dan membantu mempertingkatkan daya saing para pelajarnya – di samping melonjatkan lagi proses pembinaan negara kita.

Malaysia masih perlu berusaha lebih lagi untuk menjadi pusat akademi cemerlang dengan sekurang-kurangnya tiga ke lima universiti Malaysia diiktiraf dunia sebagai antara 50 universiti terbaik di dunia pada tahun 2008. 

Awal bulan ini, The Times Higher Education Supplement (THES) telah menerbitkan senarai  200 universiti terbaik di dunia. 

Sungguhpun Shafie pernah berkata beliau berpuas hati kerana dua universiti Malaysia telah disenarikan, iaitu Universiti Malaya di tempat 89 dan Universiti Sains Malaysia di tempat 111, kita seharuslah bercita-cita lebih  tinggi dan berusaha meletakkan tiga sampai lima universiti tempatan ke atas senarai 50 atau 60 universiti terbaik dunia. Pada masa kini, tidak ada sebuah universiti  tempatan yang dianggap sebagai universiti tahap dunia. 

Sekiranya Singapura boleh melihat dua universitinya disenarikan di senarai 50 baris depan (National University of Singapore disenarikan di tampat ke 18) sementara Australia, yang kini dikenali sebagai ‘penjana pendidikan tinggi di rantau Asia Pasifik” dengan enam universitinya yang disenarikan di tempat 50 ke atas atau lapan universiti disenarikan di tempat 60 ke atas, bukankah Malaysia harus berusaha dan memastikan bahawa universiti-universiti kita juga disenaraikan di tempat ke 50 atau 60 universiti terbaik di dunia. 

Senarai global The Times Higher Education Supplement mengenai universiti terbaik di dunia ini mungkin boleh dikritik sebagai lebih bias terhadap dunia bertutur bahasa Ingeris dan terhadap institusi yang secara aktif rekrut pelajar dan kakitangan mereka dari luar negara, memandangkan dua dari lima ciri-ciri ukurannya adalah atas dua isu ini. 

Bagaimanapun, kritikan-kritikan ini tidak harus menjadi alasan untuk penyenaraian Malaysia yang begitu rendah, kerana di dalam senarai 500 universiti terbaik yang disediakan oleh Shanghai Jiao Tong University negara Cina, Malaysia telah langsung tidak disenaraikan untuk dua tahun berturut-turut, termasuk senarai tahun 2004 yang diterbitkan bulan September lepas. 

Ini semua merupakan isu-isu yang harus diberikan keutamaan oleh Menteri Pengajian Tinggi dan bukannya membuat kenyataan-kenyataan yang reaksioner. Adakah Menteri mempunyai pelan induk bagaimana untuk membangunkan Malaysia menjadi pusat akademi cemerlang dengan memastikan bahawa sekurang-kurangnya tiga hingga lima universiti Malaysia akan dikenali dan disenarikan sebagai antara 50 atau 60 universiti terbaik di dunia? 

Apakah peranan dan tujuan sebenarnya Utusan Khas  Pengajian Tinggi, yang jelasnya tidak diperlukan serta menggambarkan secara negative mengenai kaliber dan tanggungjawab Menteri Pengajian Tinggi. Bolehkah kita diberi satu laporan mengenai apakah yang telah dicapai oleh Utusan Khas  Pengajian Tinggi ini? 

Saya langsung tidak ada sebarang dendam peribadi terhadap Shafie sepertimana yang telah dijelaskan awal lagi. Saya sanggup menarik balik usul potong gaji Menteri RM10 ini sekiranya Menteri Pengajian Tinggi mengakui bahawa kenyataan-kenyataan dasarnya di Perhimpunan Agong UMNO September lepas bahawa beliau tidak akan membenarkan pelajar-pelajar bukan bumiputra diterima masuk ke UiTM dan akan memastikan bahawa pengambilan pelajar bumiputra ke universiti akan melebihi sistem kuota lama iaitu 55% dalam sistem meritokrasi baru, sebenarnya tidak dibuat untuk kepentingan pembinaan negara atau sama sekali dapat membantu negara mencapai tahap persaingan antarabangsa demi menghadapi cabaran globalisasi, liberalisasi dan ICT. 

Akhirnya, sebagai menyokong usul saya ini, saya membangkitkan mengenai Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang telah membantutkan daya kreativiti dan pemikiran berdikari generasi muda pelajar-pelajar universiti kita yang bakal menjahanamkan masa depan negara ini menjadi negara yang mediocre, mejadikan objektif Perdana Menteri iaitu “Infrastruktur Dunia Pertama, Mentaliti Dunia Pertama” suatu impian yang tidak mungkin dicapai. 

Di Universiti Sains Malaysia, seorang pelajar tahun akhir kursus kewartawanan yang juga merupakan Presiden Persatuan Bahasa Tionghua, Soh Sook Hwa, tengah menunggu keputusan prosideng displin USM yang mendakwa beliau sebagai melanggari AUKU kerana membantu dalam kempen pilihanraya umum parti pembangkang dalam bulan Mac 2004, sementara di Universiti Teknologi Malaysia, 24 orang pemimpin pelajar yang dilabel sebagai “anti-establishment”  juga menjadi mangsa tindakan displin. 

Adakah Shafie bersedia untuk mengambil tindakan yang berani dan menghentikan semua prosiding samada di USM atau UTM ini dan menggantung perlaksanaan AUKU selama lime tahun demi mengizinkan budaya bebas dan kreativiti kembali hidup di institusi-institusi akademi kita? 

Dua minggu yang lepas, seorang ketua IPTA tempatan, yang merupakan seorang Tan Sri, telah meluahkan perasaan kesalnya terhadap kejatuhan standard akademi  dalam institusi pendidikan tinggi  kita dan hakikat yang tidak dapat dinafikan bahawa semua ini berkait rapat dengan kesan sekat AUKU. AUKU haruslah dimansuhkan, tetapi jika langkah ini dianggap terlalu berani, maka Shafie bolehlah meminta kebenaran Kabinet supaya menggantungkan perlaksanaannya sebagai menguji kesan positif yang bakal dirasai oleh universiti-universiti tempatan serta sumbangannya terhadap masa depan negara kita dalam segi kecemerlangan akademi di univerisiti-universiti serta mempertingkatkan daya saingan antarabangsa kita.

(1/12/2004)


* Lim Kit Siang, Parliamentary Opposition Leader, MP for Ipoh Timur & DAP Central Policy and Strategic Planning Commission Chairman