Belanjawan 1999 dibayangi oleh huru-hara politk dalam tempoh dua bulan yang lepas

Bagaimanapun, Belanjawan 1999 telah sama sekali dibayangi oleh  huru-hara politik dalam dua bulan yang lepas, khasnya pada hari belanjawan dan hari Sabtu, menyerlahkan betapa pentingnya asas-asas politik yang mesti ditangani sekiranya masalah pemulihan keyakinan hendak diatasi dengan berjayanya.

Sekiranya kerajaan menghadapi krisis politik yang semakin serius dan mendalam, maka adalah jelas masalah pemulihan keyakinan tidak akan dapat diastasi dan atas sebab inilah DAP menyeru supaya diselesaikan segera krisis politik yang semakin mendadak ini untuk membolehkan usaha pemulihan keyakinan mencapai kesan yang diingini supaya ekonomi dapat dipulihkan dalam tempoh yang paling singkat.

Krisis politik di negara ini bukan hanya terhad kepada perlucutan, penahanan dan tuduhan-tuduhan serius yang ditujukan ke atas Anwar Ibrahim, suatu perkara yang tidak pernah berlaku dalam sejarah negara kita, tetapi melepasi kes Anwar Ibrahim dan melibatkan harapan dan aspirasi mendalam rakyat Malaysia terhadap keadilan, kebebasan, demokrasi dan pentadbiran baik.

Dalam ucapan belanjawannya, Mahathir mengutuk "mob-rule" dan berkata bahawa Malaysia negara demokratik dan mengamalkan pemerintahan mengikut undang-undang.

Kata beliau: "Negara kita aman dan tenteram selama ini kerana kita berpegang teguh kepada amalan-amalan demokratik dan kita menyelesaikan sebarang tuduhan melalui proses undang-undang."

Kata beliau lagi: "Pengadilan dalam negara kita dibuat melalui proses penghakiman yang tertib dan teratur. Parti kerajaan dan pemimpinnya tidak dikecuali daripada didapati bersalah dan dihukum oleh Mahkamah di Malaysia."
Ini juga merupakan penekanan kenyataan Mahathir Khamis lepas selepas mesyuarat pre-council para Ahli Parlimen Barisan Nasional di Bangunan Parlimen - bahawa pengadilan tidak mengenal bulu atas alasan "ia membuat banyak keputusan yang tidak mengambil kira kepentingan kerajaan".

Beliau berkata bahawa sistem pengadilan di Malaysia tidak seperti sesetengah negara lain "yang sepastinya membuat keputusan yang memihak kepada Kerajaan."

Kes yang suka digunakan oleh Mahathir untuk menunjukkan bahawa sistem pengadilan di Malaysia adalah adil dan bahawa dalam banyak kali mahkamah membuat keputusan yang tidak memihak kepada kerajaan adalah kes UMNO yang diisytiharkan haram dalam  tahun 1988.

Tetapi itu telah berlaku sedekad yang lepas, sebelum tercetusnya krisis kehakiman paling buruk di dalam sejarah Malaysia, yang menyebabkan Lord Presiden masa itu, Tun Salleh Abas, serta dua hakim Mahkamah Agong dilucutkan jawatan.

Sejak itu, keyakinan orang ramai terhadap kebebasan dan kesaksamaan badan kehakiman telah merosot dan tidak pernah dipulihkan ke tahap sebelum tercetusnya krisis badan kehakiman 1988.

Bulan yang lepas, semasa bertukar-tukar pendapat dengan Perdana Menteri di Dewan yang mulia ini, saya pernah membangkitkan kepada Mahathir bahawa beliau tidak mempraktikkan rule of law tetapi rule by law - yang merupakan salah satu sebab tercetusnya krisisi politik masa kini.

Sekiranya ujud rule of law dan bukannya rule by law, Anwar Ibrahim kini sepastinya masih merupakan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan kerana perlantikan Kabinetnya itu belum ditarik balik menerusi proses perlembagaan yang sewajarnya.

Jumaat yang lepas, semasa Mahathir berdiri untuk membentangkan ucapan belanjawan sulungnya, Timbalan Pengerusi  Kebangsaan DAP merangkap Ahli Parlimen Jelutong, Karpal Singh, membangkitkan isu perlembagaan mengenai siapakah yang sebenarnya  Menteri Kewangan.

Mahathir seterusnya memberitahu pihak media bahawa perlantikan beliau sebagai Menteri Kewangan Pertama telah diwartakan pada 5 September dan ditandatangan oleh Ketua Setiausaha Kerajaan.

Tidak siapa yang mempertikaikan hak Perdana Menteri melantik atau melucutkan perlantikan mana-mana Menteri Kebinet, tetapi perlantikan atau pelucutan berkenaan mesti dilakukan selaras dengan peruntukan perlembagaan sekiranya ia hendak memiliki kedudukan yang sah dan wajar.

Adalah jelas mengikut Fasal 43(5) Perlembagaan Persekutuan bahawa sungguhpun merupakan hak Perdana Menteri  untuk memutuskan siapa yang akan membentuk komposisi Kabinetnya, semua perlantikan Kabinet atau perlucutan hendaklah dilakukan oleh Yang di Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri.

Fasal  43(5) Perlembagaan Persekutuan berbunyi: "Tertakluk kepada Fasal (4), Menteri-menteri yang lain daripada Perdana Menteri adalah memegang jawatan selama diperkenankan oleh Yang di Pertuan Agong, melainkan jika perlantikan mana-mana Menteri telah dibatalkan oleh Yang di Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri, tetapi mana-mana Menteri boleh meletakkan jawatannya."

Oleh sebab Anwar tidak meletakkan jawatannya dari Kabinet secara suka rela, maka pelucutannya sebagai Menteri Kewangan hanya akan sah dari segi perlembagaan sekiranya Yang di Pertuan Agong  telah membatalkan perlantikan Kabinetnya atas nasihat Perdana Menteri.

Memandangkan pengumuman awal pelucutan Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada 2 September serta penjelasan yang diberikan oleh Perdana Menteri di dalam dan di luar Parlimen Jumaat yang lepas telah memberikan gambaran jelas bahawa Yang di Pertuan Agong hanya dinasihat oleh Perdana Menteri mengenai pelucutan Anwar dan Yang di Pertuan Agong belum lagi membatalkan perlantikan Anwar sebagai Menteri Kewangan mengikut nasihat Perdana Menteri, maka berlakulah satu isu perlembagaan yang serius mengenai samada Anwar Ibrahim kini masih  merupakan Menteri Kewangan.

Yang di Pertuan Agong harus menuruti Fasal 130 Perlembagaan Persekutuan dan merujukkan hal ini kepada Mahkamah Persekutuan untuk mendapatkan pendapat mengenai samada Anwar Ibrahim masih merupakan Menteri Kewangan memandangkan perlantikannya belum dibatalkan mengikut peraturan Fasal 43(5) Perlembagaan Persekutuan.

Fasal 130 Perlembagaan Persekutuan berbunyi: "Yang di Pertuan Agong boleh merujuk kepada Mahkamah Persekutuan untuk pendapatnya apa-apa soal tentang kuatkuasa mana-mana peruntukan Perlembagaan ini yang telah timbul atau yang pada pendapat Yang di Pertuan Agong mungkin timbul, dan Mahkamah Persekutuan hendaklah mengumumkan pendapatnya mengenai apa-apa soal yang dirujukkan kepadanya itu dalam mahkamah terbuka,"

Oleh sebab ujudnya kekhuatiran bahawa di Malaysia hanya ada rule by law dan bukannya rule of law, maka pada bulan lepas, 14 orang aktivis hak-hak asasi, termasuk bekas Lord Presiden Tun Suffian serta tiga orang bekas Presiden Majlis Peguam, Raja Aziz Addruse, Dato Param Cumaraswamy serta Zainur Zakaria, telah mengeluarkan satu kenyataan umum bersama mengenai "Kedaulatan Undang-undang Tergugat" (Rule of Law Under Threat) dan memberi amaran mengenai "prinsip kedaulatan undang-undang serta prinsip keadilan semulajadi semakin diabaikan dan semakin terhakis" di Malaysia.

Kenyataan Bersama itu menekankan bahawa "The rule of law and the principles of natural justice are the mainstay of a progressive and civilised society" yang "ensure that people"s rights are not trampled upon and that everyone shall be treated equally before the law".

Apa yang Mahathir serta Malaysia harus tumpukan adalah krisis keyakinan terhadap kebebasan dan kesaksamaan badan kehakiman dalam tahun 1998, yang jelas telah mencapai tahap yang lebih rendah lagi dari sedekad yang lepas, semasa krisis badan kehakiman yang pertama kali serta yang paling buruk berlaku.

Apa yang dikhuatiri oleh rakyat Malaysia bukanlah keadaan badan kehakiman sebelum tahun 1988, tetapi keadaannya dalam tahun 1998, khasnya keadaannya  dalam tempoh 1988-1998.

Saya tidak akan memetik dari cendekiawan-cendekiawan perundangan dunia Barat mengenai isu krisis keyakinan terhadap badan kehakiman serta betapa buruknya kedaulatan undang-undang di Malaysia, supaya kerajaan tidak akan menuduhnya sebagai konspirasi dunia Barat yang memperkecil-kecilkan Malaysia.

Rais Yatim - Rule by Law dan bukannya Rule of Law